Puting beliung: 17 mangsa dipindah ke PPS Sijangkang
BANTING – Sebanyak 17 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Harmoni Baru 7, Sijangkang selepas kediaman mereka rosak akibat puting beliung yang melanda beberapa kawasan di sekitar Meru dan Kuala Langat, petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata, daripada jumlah itu sembilan merupakan dewasa manakala lapan lagi kanak-kanak.
“PPS berkenaan dibuka pada jam 7 malam bagi menempatkan penduduk yang terjejas. Jumlah mangsa akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Kejadian ribut yang berlaku sekitar jam 5 petang itu turut menyebabkan kerosakan di beberapa lokasi termasuk Jalan Mohd Sharif 1, Taman Daya Meru, Jalan Puding, Jalan Paip serta kawasan sekitar Sijangkang, Kuala Langat.
Sementara itu, beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan fenomena puting beliung tersebut meranapkan bumbung, mencabut besi penghadang jalan dan menerbangkan serpihan bangunan ke udara.
Antara kawasan paling terjejas ialah Teluk Panglima Garang, apabila beberapa sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang, SK Kampung Medan dan Sekolah Rendah Agama Kampung Medan mengalami kerosakan besar.
Rakaman penduduk turut menunjukkan keadaan bangunan SK Sijangkang yang runtuh sebahagian dindingnya manakala atap sekolah tercabut sepenuhnya akibat kekuatan pusaran angin tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











