‘Puting beliung’ bukan badai seluruh ATM, majoriti anggota kekal berintegriti – PM
KUALA LUMPUR – Kemelut yang melanda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kebelakangan ini ibarat puting beliung yang mengejutkan, namun ia tidak boleh disifatkan sebagai badai yang meranapkan keseluruhan institusi pertahanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, majoriti pegawai dan anggotanya masih berintegriti serta setia memikul amanah.
Beliau berkata, isu yang sedang disiasat itu tidak wajar mencoreng imej keseluruhan ATM, Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi penguatkuasaan lain yang selama ini menjadi tonggak keselamatan negara.
“Integriti, iltizam, semangat dan daya tahan anggota tidak harus terjejas.
“Majoriti besar memahami tanggungjawab dan amanah yang digalas dan sedar negara bergantung kepada kesiapsiagaan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di sini hari ini.
Anwar mengakui, kemelut yang berlaku merupakan perkembangan mengejutkan bukan sahaja kepada negara malah masyarakat antarabangsa, terutama ketika Malaysia masih bergelut dengan isu rasuah dan penyelewengan dana selepas beberapa skandal kewangan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kes yang melibatkan segelintir individu, walaupun masih dalam siasatan dan menunggu keputusan mahkamah, tidak boleh dijadikan alasan untuk merendahkan martabat pegawai dan anggota ATM yang berkhidmat dengan penuh disiplin dan profesionalisme.
Perdana Menteri berkata, keamanan dan kestabilan negara yang dinikmati hari ini menjadi asas kepada prestasi ekonomi memberangsangkan, termasuk pencapaian perdagangan Malaysia yang mencatat rekod RM3 trilion pada 2025 serta pertumbuhan ekonomi melepasi unjuran maksimum 4.8 peratus.
“Di sebalik angka-angka ekonomi yang menakjubkan ini, ada peranan besar angkatan bersenjata, polis, agensi sempadan dan penguatkuasaan yang bekerja tanpa henti sehingga rakyat dan pelabur asing yakin untuk datang ke Malaysia,” katanya.
Menurut Anwar, keamanan sering dianggap sesuatu yang biasa sehingga peranan pasukan keselamatan dipandang ringan, sedangkan sejarah membuktikan tiada negara yang selamat tanpa kesiapsiagaan angkatan bersenjatanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kedudukan strategik Malaysia di laluan utama dunia seperti Laut China Selatan, Selat Melaka dan Lautan Hindi menuntut kesiapsiagaan pertahanan berterusan walaupun negara mengamalkan dasar berkecuali dan hubungan baik dengan kuasa besar dunia.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan amalan rasuah dan kepentingan peribadi dalam sektor pertahanan tidak boleh lagi dibiarkan kerana ia bukan sahaja merosakkan imej negara, malah menjejaskan keupayaan industri pertahanan itu sendiri.
“Mana mungkin kita mahu tetapkan dasar pertahanan dan perolehan senjata terbaik jika masih dibelenggu komisen dan kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau mendedahkan kerajaan telah membekukan semua perolehan melibatkan MINDEF dan KDN termasuk kelulusan yang belum dimuktamadkan untuk diteliti semula bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban sepenuhnya.
Menurutnya, semua perolehan selepas ini mesti melalui proses yang lebih telus, dipantau menteri dan Ketua Setiausaha sebelum dikemukakan, selari dengan semangat DIPN yang memberi penekanan kepada tadbir urus berwibawa.
Anwar turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam mengemudi MINDEF tanpa bersikap defensif, sebaliknya beriltizam membersihkan kementerian dan memperkukuh integriti angkatan pertahanan negara.
“Saya akan memberi sokongan penuh. Seluruh Jemaah Menteri bersama untuk memperbaiki, mengangkat semula peranan dan keupayaan angkatan pertahanan serta melaksanakan DIPN,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












