Kadar tarif baharu AS: Radzi harap kerajaan beri penjelasan
PUTRAJAYA – Keputusan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar tarif terhadap Malaysia kepada 25 peratus mulai 1 Ogos ini menimbulkan pelbagai persoalan, terutama apabila Malaysia menjadi satu-satunya negara ASEAN yang menerima peningkatan dalam semakan terkini.
Kadar tersebut merupakan tambahan satu peratus berbanding kadar yang diumumkan pada April lalu, berbeza dengan pendekatan yang diambil terhadap negara serantau lain.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, dalam kenyataan hari ini berkata, beliau menghormati usaha kerajaan dalam merundingkan dasar perdagangan luar, namun mengharapkan penjelasan yang lebih menyeluruh diberikan kepada rakyat berhubung perkembangan tersebut.
“Sebelum ini, rakyat diberi keyakinan bahawa rundingan bersama Amerika Syarikat berjalan lancar dan memberi gambaran positif.
“Namun, angka yang diumumkan ini menimbulkan persoalan yang wajar diperjelaskan secara terbuka,” katanya.
Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar masing-masing mencatatkan pengurangan kadar antara 4 hingga 26 peratus.
Radzi menyatakan harapan agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dapat memperincikan sebarang bentuk kelonggaran dasar yang dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada rundingan terdahulu.
Beliau turut menyentuh kemungkinan rundingan diteruskan sebelum kadar baharu dilaksanakan.
“Apa yang penting adalah memastikan setiap keputusan rundingan dibuat dengan penuh berhati-hati dan berpaksikan kepada kepentingan jangka panjang negara.
“Ketelusan juga penting agar keyakinan rakyat dan pelabur terus terpelihara,” ujarnya.
Radzi menekankan perlunya kerajaan memberi sokongan menyeluruh kepada sektor yang mungkin terkesan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeksport yang bergantung kepada pasaran AS.
“Langkah intervensi yang bersasar perlu dipertimbangkan bagi mengurangkan kesan langsung terhadap daya saing negara dalam pasaran global,” jelasnya.
Dalam kenyataan sama, beliau menyatakan kesediaan untuk membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat apabila sidang Parlimen disambung semula pada 21 Julai ini.
“Saya percaya isu ini wajar diberi ruang untuk dibahaskan di Parlimen. Ia bukan semata-mata soal perdagangan, tetapi menyentuh kedudukan strategik negara dalam hubungan ekonomi antarabangsa,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












