BERITA SEMASAPOLITIK

‘Saya pun tunggu nak raikan apabila mahkamah rasmi terowong Pulau Pinang’ – Tok Mat

KUALA LUMPUR – Kenyataan sinis pemimpin DAP terhadap keputusan mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Razak terus mengundang reaksi pemimpin UMNO apabila Datuk Seri Mohamad Hasan menyindir kembali dengan mengaitkan isu projek Terowong Pulau Pinang yang sarat kontroversi dan masih menanti penghakiman undang-undang.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, beliau turut menunggu masa untuk meraikan keputusan mahkamah berkaitan projek Terowong Pulau Pinang yang dikaitkan dengan siasatan kes rasuah.

Menurut Mohamad, projek berkenaan yang dianggarkan bernilai RM6.7 bilion itu dikatakan akan ‘dirasmikan’ oleh mahkamah pada pertengahan tahun depan.

“Saya pun tunggu nak ‘celebrate’ apabila Mahkamah merasmikan Terowong Pulau Pinang, mungkin pertengahan tahun 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sindiran itu dipercayai merujuk projek terowong dasar laut dan pembinaan jalan utama di Pulau Pinang yang sebelum ini dikaitkan dengan Penasihat DAP, Lim Guan Eng.

Semalam, Yeo Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Puchong memuat naik hantaran di media sosial berbunyi ‘Another reason to celebrate this year end’, disertakan pautan laporan sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’.

Hantaran berkenaan mengundang kemarahan beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional (BN), khususnya daripada UMNO yang menganggap kenyataan itu tidak sensitif serta mencetuskan ketegangan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Malah, terdapat pemimpin UMNO yang secara terbuka menggesa agar kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan diperhalusi semula susulan tindakan pemimpin DAP itu.

Hantaran tersebut dimuat naik selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibangkitkan, dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button