AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Rakyat Malaysia jual domain AI.com pada harga RM276 juta

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia dilaporkan menjual nama domain AI.com pada harga AS$70 juta (kira-kira RM276 juta), sekali gus menjadikannya antara domain paling mahal pernah direkodkan setakat ini.

Portal teknologi tempatan melaporkan domain berkenaan sebelum ini dimiliki oleh usahawan, Arsyan Ismail.

Dia sebelum ini pernah mencuri perhatian apabila membeli komputer riba gaming Acer Predator 21X pada harga RM39,999 di Malaysia.

Penjualan AI.com pada nilai tersebut menjadikannya antara transaksi domain paling bernilai tinggi di dunia, susulan permintaan luar biasa terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) ketika ini.

Difahamkan, domain berkenaan kini dimiliki oleh Kris Marszalek, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Crypto.com.

Menerusi pemilikan baharu itu, Crypto.com dilaporkan merancang untuk memfokuskan penawaran perkhidmatan berasaskan AI, termasuk pembangunan solusi AI berejen (agentic AI) di bawah domain berkenaan.

Transaksi tersebut turut mencetuskan reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai pelaburan bijak, selain ada yang terkejut dengan nilai jualan mencecah ratusan juta ringgit.

Lonjakan nilai domain berkaitan AI dilihat selari dengan perkembangan pesat industri kecerdasan buatan global yang kini menjadi antara sektor teknologi paling bernilai tinggi di dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button