BERITA SEMASA

Remaja 17 tahun lemas di Bagan Lalang ditemui 300 meter dari pantai

TANJONG SEPAT – Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Bagan Lalang di sini petang tadi ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas.

Mangsa berusia 17 tahun itu ditemui oleh pasukan penyelamat kira-kira 300 meter dari pantai dan 10 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penguasa Kanan Bomba (PKB) II, Mohamad Issmanto Md. Pono berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.18 petang.

Menurut beliau, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang tiba di lokasi sebelum operasi pencarian dijalankan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) menggunakan bot di kawasan perairan berhampiran.

“Mangsa ditemui pada pukul 6.50 petang oleh unit PPDA pada jarak kira-kira 300 meter dari pantai dan 10 meter dari lokasi lemas dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi SAR tersebut melibatkan seramai 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pelbagai aset termasuk jentera dan bot penyelamat, selain dibantu beberapa agensi keselamatan lain.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja lelaki, Mohd. Akhil Zamani Sanusi, 17, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Bagan Lalang dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button