LUAR NEGARA

Reza Pahlavi sedia pimpin peralihan jika pemerintahan Iran tumbang

PARIS – Putera kepada Shah terakhir Iran, Reza Pahlavi menyatakan kesediaannya untuk mengetuai proses peralihan pemerintahan sekiranya sistem Republik Islam di negara itu runtuh, sambil mendakwa persiapan bagi membentuk pentadbiran baharu sudah mula digerakkan.

Dalam mesej yang dimuat naik di saluran media sosialnya, Pahlavi yang kini menetap di Amerika Syarikat (AS) berkata, beliau sedang berusaha memilih individu dari dalam dan luar Iran untuk menyertai sebuah badan yang digelar sebagai ‘Sistem Peralihan’.

Menurutnya, individu berkenaan dikenal pasti bagi mengisi pelbagai peranan penting sekiranya perubahan pemerintahan berlaku di negara itu.

Difahamkan, Pahlavi mengetuai salah satu daripada beberapa gerakan pembangkang Iran yang beroperasi di luar negara.

Pengaruhnya dilaporkan meningkat susulan protes yang tercetus pada Januari lalu terhadap sistem pemerintahan ulama, dengan sebahagian penunjuk perasaan menyeru supaya monarki dikembalikan.

Situasi politik Iran turut berubah selepas pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan udara oleh AS dan Israel pada 28 Februari lalu.

Walaupun konflik selama dua minggu tercetus selepas insiden berkenaan, sistem pemerintahan ulama masih kekal, manakala penggantinya yang juga anaknya, Mojtaba Khamenei belum tampil secara terbuka.

Sementara itu, Pahlavi berkata proses pemilihan anggota badan peralihan tersebut diketuai oleh penasihat kanan Iran dan pakar ekonomi kewangan di badan pemikir berpangkalan di AS, Yayasan Pertahanan Demokrasi (FDD), Saeed Ghasseminejad.

“Individu yang berkelayakan di dalam dan luar negara dikenal pasti serta dinilai untuk memimpin pelbagai bahagian dalam Sistem Peralihan.

“Di bawah kepimpinan saya, sistem ini akan bersedia mengambil alih pentadbiran negara sebaik sahaja Republik Islam tumbang dan dalam tempoh singkat mewujudkan ketenteraman, keselamatan, kebebasan serta asas bagi kemakmuran Iran,” katanya memetik laporan portal berita antarabangsa.

Pada Februari lalu, perhimpunan besar penyokong monarki diadakan di Munich serta beberapa bandar di Amerika Utara bagi menunjukkan sokongan terhadap Pahlavi.

Bagaimanapun, beliau masih belum mendapat pengiktirafan rasmi daripada Presiden AS, Donald Trump yang tidak pernah bertemu dengannya secara rasmi dan beberapa kali menyatakan keraguan terhadap keupayaan Pahlavi memimpin Iran.

“Mereka bercakap tentang anak lelaki Shah dan beberapa tokoh lain, tetapi dia sudah lama tidak berada di sana (Iran),” kata Trump minggu ini.

Pahlavi berada di AS bagi menjalani latihan tentera udara ketika bapanya, Mohammad Reza Pahlavi, digulingkan dalam Revolusi Iran 1979, dan sejak itu tidak pernah kembali ke tanah airnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button