BERITA SEMASA

RM15.5 bilion berjaya dikembalikan hasil tindakan tegas perangi rasuah, kartel

SERI ISKANDAR – Komitmen kerajaan dalam membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel terbukti menerusi kejayaan mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu membuktikan ketegasan kerajaan dalam memastikan tiada pihak, termasuk individu berpangkat tinggi, terlepas daripada tindakan undang-undang jika terbabit kegiatan merugikan negara.

“Kita berjaya merampas wang dicuri dan diseludup melalui kegiatan jenayah berjumlah RM15.5 bilion, ini baru dua tahun. Itu pun kerana saya tegas dan menegaskan kepada semua agensi penguat kuasa, tiada kompromi terhadap rasuah, penyeludupan, sindiket dan kartel. Hapuskan mereka kerana mereka mencuri daripada rakyat.

“Dalam beberapa tahun yang saya ada ini, saya mahu, insya Allah, membersihkan kekusutan yang berlaku. Apa pun orang kata tidak menggugat saya, saya anggap itu tanggungjawab kita,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Canselori universiti, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri menambah, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk sindiket dan kartel yang menyelewengkan hasil negara, sambil menegaskan prinsip keadilan serta integriti mesti ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau gelaran individu terbabit.

“Kadangkala mereka bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri atau Tun, saya tidak peduli. Kamu boleh ada gelaran, tetapi jika mencuri, kita akan tangkap, dibicarakan di mahkamah dan jika didapati bersalah, kamu akan ke penjara.

“Itulah prinsipnya dan golongan muda mesti memahami serta menyokong perjuangan ini. Bolehkah saya percayakan kamu untuk mendukungnya?” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin, termasuk pelajar.

Menurutnya, usaha memerangi rasuah dan memperkukuh tadbir urus berintegriti sebahagian misi besar kerajaan bagi menjamin masa depan negara serta generasi muda memandangkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus maju.

Beliau turut menyeru pelajar dan belia supaya mendukung perjuangan menegakkan keadilan serta menolak sebarang bentuk penindasan kaum, selain membina jati diri berasaskan nilai kemanusiaan, etika tinggi, ilmu pengetahuan dan kemahiran baharu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button