RM250,000 diperuntuk naik taraf lima klinik kesihatan di Bukit Bendera
GEORGE TOWN – Sebanyak RM250,000 diperuntukkan bagi menaik taraf lima fasiliti kesihatan di Parlimen Bukit Bendera menerusi pelaksanaan Projek Infrastruktur MYKHAS, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan primer kepada penduduk setempat.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, peruntukan itu disalurkan kepada Klinik Kesihatan Air Itam, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Padang Tembak, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Tanjung Tokong, Klinik Kesihatan Tanjung Bungah serta Klinik Desa Batu Feringghi, dengan setiap klinik menerima RM50,000.
Menurutnya, projek berkenaan merangkumi pembekalan dan pemasangan peralatan, kerja baik pulih bumbung dan siling, mengecat semula dinding serta penambahbaikan kemudahan untuk kegunaan kakitangan dan pesakit.

“Projek ini telah dilaksanakan antara Ogos hingga November 2025 melalui kontraktor tempatan yang dilantik mengikut prosedur perolehan ditetapkan.
“Penambahbaikan ini diyakini dapat meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan dan keselesaan pesakit, selain memperkukuh perkhidmatan kesihatan primer khususnya kepada ibu, kanak-kanak, warga emas dan pesakit penyakit kronik di Daerah Timur Laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syerleena turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta semua agensi pelaksana atas kejayaan pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, kesihatan merupakan hak asas setiap rakyat dan klinik kesihatan primer yang kukuh adalah tulang belakang kepada sistem kesihatan negara yang berdaya tahan.
“Apabila klinik dilengkapi dengan baik dan diselenggara secara rapi, ia bukan sahaja mencegah penyakit daripada menjadi lebih serius, malah membantu mengurangkan jurang ketidaksamaan akses kepada penjagaan kesihatan,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan pelaburan berterusan dalam infrastruktur kesihatan primer, khususnya dalam situasi kos sara hidup yang meningkat dan populasi negara yang semakin menua.
“Keutamaan kepada pembiayaan kesihatan awam, pemodenan fasiliti lama serta integrasi teknologi kesihatan digital perlu diteruskan agar perkhidmatan kesihatan lebih mudah diakses, cekap dan berteraskan rakyat,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Syerleena berharap inisiatif seumpama ini dapat diperluaskan pada masa hadapan, termasuk peruntukan lebih besar bagi naik taraf struktur bangunan, peluasan kapasiti perkhidmatan serta perancangan penyelenggaraan jangka panjang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi, kontraktor dan petugas kesihatan yang terlibat serta warga Parlimen Bukit Bendera atas sokongan berterusan dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan di peringkat komuniti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












