Rundingan AS-Iran gagal capai kata sepakat tamatkan perang Asia Barat
ISLAMABAD – Rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran bagi menamatkan konflik di Asia Barat gagal mencapai persetujuan selepas perbincangan intensif selama lebih 20 jam di Islamabad, Pakistan.
Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance berkata, Washington telah mengemukakan “tawaran terakhir dan terbaik” kepada Tehran, namun masih belum menerima komitmen jelas terutama berkaitan isu pembangunan senjata nuklear.
“Kita mahukan komitmen asas bahawa Iran tidak akan membangunkan senjata nuklear, tetapi setakat ini kita belum melihat perkara itu,” memetik NST online.
Rundingan berprofil tinggi itu merupakan yang paling signifikan sejak Revolusi Iran 1979, dengan penglibatan delegasi kanan kedua-dua negara.
Konflik antara kedua-dua pihak tercetus selepas serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada Februari lalu, yang mencetuskan tindak balas balas sehingga menggugat kestabilan serantau dan ekonomi global.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan negaranya telah mencapai kemenangan ketenteraan, tanpa mengira hasil rundingan.
“Buat perjanjian atau tidak, tidak memberi perbezaan kerana kita sudah menang,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Iran kekal bertegas dengan tuntutan termasuk pembebasan aset yang disekat serta penamatan konflik melibatkan kumpulan Hezbollah di Lubnan.
Ketegangan turut tertumpu di Selat Hormuz apabila Iran memberi amaran akan bertindak terhadap mana-mana kapal tentera asing yang memasuki laluan strategik tersebut.
Pakar geopolitik melihat kegagalan rundingan itu berpotensi memanjangkan konflik, sekali gus memberi kesan kepada harga minyak global dan kestabilan ekonomi dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












