BERITA SEMASA

RUU Kawalan Produk Merokok diluluskan

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 hari ini diluluskan menerusi undian suara di Dewan Rakyat.

Terdahulu, seramai 27 Ahli Parlimen membahaskan RUU itu selepas ia dibentangkan semalam.

Pada Selasa, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat dengan peruntukan berkaitan generasi penamat rokok (GEG) digugurkan.

Untuk rekod, peruntukan GEG itu melarang penjualan produk tembakau, bahan merokok, merokok produk tembakau dan merokok produk pengganti tembakau bagi individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen membidas Zaliha yang mengetepikan dahulu peruntukan berkaitan GEG daripada RUU itu selepas pandangan Jabatan Peguam Negara diambil kira.

Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mendakwa, Zaliha dan Kementerian Kesihatan (KKM) tunduk kepada pelobi dan pemain industri tembakau sehingga menggugurkan peruntukan berkaitan GEG daripada RUU itu.

Zaliha dikritik walaupun sudah menjelaskan satu-satunya sebab ia digugurkan kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) berpandangan ia “tidak berperlembagaan”.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) ketika membahaskan RUU itu semalam mengingatkan Zaliha penggubal undang-undang adalah Ahli Parlimen bukan AGC.

P. Prabakaran (PH-Batu) pula sedih GEG digugurkan tetapi tidak akan berputus asa untuk memastikan ia dilaksanakan.

Beliau bersetuju dengan pandangan R. Yuneswaran (PH-Segamat) yang mahu kerajaan membawa semula GEG tahun depan.

“Saya setuju dan saya dengan sahabat (Ahli Parlimen kerajaan) takkan putus asa akan sentiasa memberi tekanan kepada KKM iaitu GEG satu perkara yang diperlukan,” katanya.

Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) juga menyuarakan pandangan sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button