BERITA SEMASA

Salah guna AI ketika perang: Garis panduan digital perlu diperkasa

SHAH ALAM – Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat perisian gergasi ketika konflik antarabangsa menuntut garis panduan lebih tegas bagi memastikan kandungan digital kekal sahih serta tidak menjejaskan keamanan global.

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersialan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Shamsul Arrieya Ariffin berkata, perkembangan pesat platform digital kini bukan sahaja membentuk cara masyarakat berfikir, malah berpotensi menjadi alat propaganda jika tidak dikawal dengan baik.

Menurutnya, walaupun syarikat teknologi sering mempromosikan keterbukaan maklumat dan hubungan global, realitinya menunjukkan wujud percanggahan apabila teknologi digunakan untuk tujuan manipulasi maklumat, penyebaran berita palsu dan pelanggaran privasi.

“Dalam situasi peperangan, algoritma platform digital cenderung mengangkat kandungan sensasi dan berunsur perpecahan kerana faktor penglibatan pengguna. Ini secara tidak langsung memburukkan keadaan dan mencetuskan ketegangan,” katanya di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, peningkatan penggunaan aplikasi seperti TikTok sebagai sumber berita turut menimbulkan kebimbangan apabila sebahagian besar pengguna bergantung kepada maklumat yang tidak disahkan.

Tambahnya, konflik seperti di Gaza dan Ukraine memperlihatkan bagaimana AI digunakan untuk menghasilkan kandungan manipulatif termasuk video palsu, imej diubah suai serta naratif propaganda yang tersusun.

“Fenomena ini menunjukkan bagaimana teknologi boleh disalah guna untuk mengelirukan masyarakat, mempengaruhi persepsi awam dan seterusnya memberi kesan kepada keputusan politik serta kemanusiaan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata, syarikat teknologi besar seperti Microsoft dan Google telah memperkenalkan prinsip AI bertanggungjawab, namun pelaksanaannya masih berdepan cabaran terutama dalam situasi konflik.

Menurutnya, perubahan dasar oleh syarikat teknologi berkaitan penggunaan AI turut menimbulkan persoalan tentang tahap komitmen mereka terhadap hak asasi manusia dan keselamatan global.

“Pengawalan kendiri semata-mata tidak mencukupi. Perlu ada pemantauan bebas, ketelusan data serta kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat sivil,” katanya lagi.

Beliau turut mencadangkan penggunaan piawaian teknikal seperti pengesahan sumber kandungan dan teknologi pengesanan manipulasi bagi memastikan ketulenan maklumat dapat dipertingkatkan.

“Platform digital mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada keamanan jika digunakan secara beretika, termasuk membantu dokumentasi bukti, menyokong bantuan kemanusiaan dan menggalakkan persefahaman antara masyarakat.

“Justeru, garis panduan yang jelas, piawaian kukuh serta penekanan terhadap perlindungan hak asasi manusia perlu menjadi asas dalam pembangunan teknologi digital masa hadapan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button