Selangor henti lesen penternakan babi, ladang sedia ada ditutup berperingkat – MB
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memutuskan tidak lagi mengeluarkan lesen penternakan babi di negeri ini serta menutup secara berperingkat ladang sedia ada, selaras dengan titah terbaharu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang bagi membincangkan isu berkepentingan rakyat.
Menurut kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas titah Baginda yang menzahirkan tidak memperkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Katanya, sejak Januari lalu, kerajaan negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi serta memberi tumpuan kepada pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat, sebagai menjiwai titah Baginda yang dizahirkan sebelum ini.
“Melangkah ke depan, Kerajaan Negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen penternakan babi kepada mana-mana pihak di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi ladang yang masih beroperasi, kawasan tersebut akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor.
Beliau memaklumkan, ketika ini kira-kira 70 peratus keperluan daging babi masyarakat bukan Islam di Selangor diperoleh melalui import dari negeri lain dan susulan keputusan MMKN, keseluruhan bekalan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terlibat.
Bagaimanapun, sebarang pengeluaran serta kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen.
Menurut Amirudin, keputusan itu diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang bimbang terhadap impak penternakan babi terhadap alam sekitar termasuk isu saliran air dan pencemaran bau.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar polemik berkaitan isu berkenaan dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menggugat keharmonian serta menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangor.
Kenyataan itu dikeluarkan pada 12 Februari 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












