BERITA SEMASA

Selangor taja penuh 75 jemaah haji, kos RM1.2 juta

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor meluluskan tajaan penuh kepada 75 jemaah haji dari negeri ini bagi musim haji 1447H/2026M dengan kos keseluruhan kira-kira RM1.2 juta.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor sebagai usaha membantu rakyat negeri ini menunaikan ibadah haji.

Menurut beliau, jumlah jemaah yang menerima tajaan penuh tahun ini meningkat sebanyak 29 orang berbanding 46 jemaah pada tahun lalu.

“Bagi meringankan urusan perjalanan, Kerajaan Negeri bersama Yayasan MBI akan turut menyalurkan bantuan sebanyak RM1,500 kepada setiap daripada 75 jemaah yang terpilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, syarat dan kelayakan jemaah yang menerima manfaat tajaan penuh akan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji melalui syor Jabatan Agama Islam Selangor sebelum dipersembahkan untuk perkenan Sultan Selangor.

Mengambil kira situasi tidak menentu di Timur Tengah, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) berlandaskan garis panduan keselamatan bagi memastikan perjalanan jemaah Selangor berada dalam keadaan terjamin.

“Saya mendoakan agar keadaan di Timur Tengah kembali aman dan mengajak semua pihak yang terlibat untuk kembali ke meja rundingan sebagai jalan penyelesaian konflik ini.

“Dunia tidak boleh membenarkan budaya pelanggaran undang-undang antarabangsa dinormalisasikan terutama ketika rakyat biasa menjadi mangsa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button