BERITA SEMASA

Semua JKM negeri siap siaga peningkatan angka mangsa banjir

KUCHING – Semua Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, kehadiran JKM di setiap daerah membolehkan tindakan bantuan dilaksanakan dengan segera sekiranya diperlukan, lapor BERNAMA.

“Semua pihak berkaitan telah diminta untuk bersiaga sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan Sumbangan Back to School Sesi Persekolahan 2026 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dilaporkan telah meningkatkan amaran hujan lebat berterusan kepada peringkat jingga bagi beberapa negeri di pantai timur Semenanjung susulan luruan monsun timur laut yang melanda ketika ini hingga 18 Dis.

Dalam pada itu, Nancy berkata, setakat pukul 4.30 petang tadi, sebanyak lapan PPS mula beroperasi di lima negeri di seluruh negara, melibatkan 219 mangsa daripada 93 keluarga.

“JKM telah mengambil tindakan segera termasuk pembukaan PPS, pendaftaran mangsa secara kendiri menerusi sistem MyIBJKM, serta pengagihan bantuan keperluan asas.

“Bekalan bantuan dilaporkan mencukupi bagi menampung keperluan semua mangsa yang ditempatkan di PPS,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button