GAYA HIDUPRENCANA

Seronok berbelanja, jangan sampai tertipu – MCMC

KEMUNCULAN pelbagai platform jualan dalam talian dan media sosial secara tidak langsung meletakkan pengguna dalam risiko penipuan yang semakin tidak terkawal.

Dengan memanfaatkan platfom media sosial popular, aktiviti penipuan kini semakin mudah memancing mangsa menggunakan gambar, video dan laman web yang disangkakan ‘benar’.

Lebih membimbangkan apabila kewujudan laman atau pautan seumpama itu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana melibatkan kerugian yang mungkin tidak begitu tinggi.

Statistik jenayah dalam talian yang direkodkan MCMC menunjukkan nilai kerugian sebanyak RM1.218 bilion pada tahun 2023.

Namun sejak kebelakangan ini, nilai-nilai kerugian akibat penipuan dalam talian sudah mencecah angka jutaan ringgit dan semakin kerap dilaporkan.

Pengerusi Jawatankuasa Ancaman Dalam Talian dan Keselamatan Maklumat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek Fernandez berkata, aktiviti penipuan dalam talian semakin menjadi-jadi kerana pesalah boleh beroperasi dari mana-mana sahaja.

Bahkan katanya, penipuan dalam talian kini boleh dilakukan dengan hanya membina sebuah laman web palsu atau membuat iklan dan laman media sosial yang nampak macam sah tanpa memerlukan transaksi secara berdepan.

Derek Fernandez

“Jangan begitu mudah untuk percaya pada apa yang ditawarkan di media sosial, pautan atau laman web secara sembarangan.

“Segala apa yang dilihat dan didengar itu mungkin satu perangkap yang boleh menyebabkan anda kerugian,” tegas Derek ketika ditemui Malaysia Tribune sempena Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2025 di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.

Menurut Derek, antara modus operandi yang sering digunakan dalam penipuan adalah tawaran harga yang terlampau rendah.

“Jangan percaya 100 peratus dan jangan cepat terpengaruh dengan diskaun yang ditawarkan dalam tempoh masa tertentu. Itu semua antara ciri-ciri penipuan dalam talian atau scam,” katanya.

Para pengguna media sosial perlu berhati-hati dengan taktik licik scammer untuk memerangkap mangsanya.

Selain itu katanya, pengguna juga perlu berwaspada setiap kali ingin membuat pembelian atau transaksi secara dalam talian.

“Bila ingin membeli sesuatu barang daripada platform media sosial, anda perlu bertanya pada diri, siapakah mereka? Adakah gambar yang dipamerkan itu benar? Adakah nama mereka yang menjual barang itu mempunyai alamat? Kalau mereka tipu saya, macam mana saya boleh dapatkan semula wang tersebut?

“Jika perkara itu anda sendiri tidak dapat sahkan, maka sebaiknya jangan beli. Sebaliknya gunakan platform e-dagang yang lebih selamat dan diperakui seperti Lazada atau Shopee,” jelas beliau.

Sebelum menamatkan temu bual, Derek melahirkan harapan agar jenayah siber dan ancaman dalam talian dapat dikurangkan secara signifikan melalui pelaksanaan Akta 588 yang mensyaratkan lesen khas kepada penyedia laman sosial.

Pelaksanaan kerangka pelesenan terhadap penyedia platform media sosial dan perkhidmatan mesej Internet bertujuan mewujudkan ekosistem digital yang lebih selamat.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan satu ekosistem digital yang lebih selamat demi manfaat semua rakyat,” katanya.

Bermula 1 Januari 2025, MCMC menguatkuasakan pelaksanaan kerangka pelesenan terhadap penyedia platform media sosial dan perkhidmatan mesej Internet.

Melalui pewartaan itu, penyedia perkhidmatan perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Setakat ini, tiga daripada enam penyedia perkhidmatan platform media sosial telah mendapatkan lesen tanpa sebarang isu iaitu Bytedance (TikTok), Tencent (WeChat) dan Telegram.

Katanya, melalui pelaksanaan Akta 588 dan kerjasama erat antara pihak berkuasa dengan penyedia platform, MCMC optimis bahawa langkah itu akan membawa perubahan positif kepada landskap digital di Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button