Siasatan kes Allahyarham Muhammad Amirul Raziq diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 KK
BENTONG – Siasatan kes melibatkan Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang meninggal dunia dipercayai akibat dipukul, baru-baru ini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya sudah memohon proses bedah siasat dilaksanakan bagi memulakan siasatan itu selepas mangsa disahkan meninggal dunia pukul 9.34 pagi tadi.
BACA JUGA:
Menteri Pertahanan zahir dukacita pemergian anggota tentera jadi mangsa pukul
Anggota tentera mangsa pukul meninggal dunia
“Proses siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dilakukan dengan mengklasifikasikan semula kertas siasatan Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibuka sebelum ini.
“Permohonan untuk melakukan bedah siasat dilakukan serta pihak polis akan meneliti semula keterangan yang diambil sebelum ini dan jika perlu, sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, Allahyarham Muhammad Amirul Raziq meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Temerloh, Pahang, pagi tadi.
Berita pemergian Allahyarham disahkan sendiri bapanya, Rosafindi Tambi Chik.
Allahyarham Muhammad Amirul Raziq sebelum ini dilaporkan cedera parah dipercayai dipukul suspek berpangkat Koperal disyaki berpunca ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac lalu.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan berdasarkan siasatan awal, seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka dan perut tujuh anggota kem berkenaan.
Siasatan turut mendapati terdapat enam lagi mangsa berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun berada bersama dalam kejadian itu.
Pada 6 April lalu, seorang anggota tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Bentong, Pahang atas tujuh pertuduhan mencederakan anggota lain, bulan lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












