JENAYAH & MAHKAMAH

Siasatan kes tikam pelajar di Bandar Utama dijalankan secara terperinci – Polis

PETALING JAYA – Siasatan kes tikam yang membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini hari ini, akan dibuat dengan teliti dan secara menyeluruh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, antara disiasat termasuk dakwaan yang menjadi tular di media sosial bahawa suspek pernah meluah perasaan kepada mangsa.

“Proses siasatan masih lagi berjalan dan dilakukan secara menyeluruh namun apa sahaja maklumat perlu diteliti dahulu,” katanya, hari ini.

Terdahulu, terdapat laporan media (bukan Malaysia Tribune) yang menyatakan pelajar lelaki 14 tahun yang menikam pelajar perempuan itu dikatakan meluahkan perasaannya kepada mangsa malam tadi, namun ditolak.

Perkara itu didedahkan seorang pelajar di sekolah sama, sambil menyatakan daripada apa yang didengari, suspek dikatakan marah selepas pengakuan perasaannya kepada mangsa ditolak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa ditikam berulang kali menggunakan dua senjata berbeza.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian pada badan mangsa, tikaman berulang kali itu dipercayai menyebabkan mangsa maut.

“Kita lihat memang ada banyak kesan tikaman, namun tidak dapat dipastikan dengan sebenar berapa kali ditikam.

“Proses bedah siasat masih berlangsung yang akan menentukan punca sebenar kematian mangsa,” katanya lagi.

Dalam kejadian pukul 9.10 pagi tadi itu, mangsa berusia 16 tahun ditemukan maut dengan kecederaan akibat beberapa kesan tikaman pada badan.

Seorang suspek berusia 14 tahun ditahan di tempat kejadian dan dua senjata tajam dirampas di lokasi kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button