BERITA SEMASA

Sidang Kemuncak ASEAN: Malaysia serah tugas kepada Filipina

KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini menyerahkan tugas sebagai Pengerusi ASEAN kepada Filipina, ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan melabuhkan tirainya.

Upacara penyerahan tukul yang menjadi simbolik acara itu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.

Presiden Filipina akan menggalas tugas sebagai Pengerusi baharu untuk sesi yang akan bermula 1 Januari 2026.

Ini kali keenam Filipina memikul tugas sebagai Pengerusi ASEAN selepas 1976, 1987, 1999, 2007 dan 2017.

Anwar ketika menyampaikan ucapan penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan menyifatkan ASEAN akan membuka satu lembaran baharu tahun hadapan di bawah kepengerusian Filipina.

Beliau berkata, pihaknya yakin ASEAN akan terus bergerak ke hadapan dengan kejelasan, ketenteraman, kemesraan dan keseimbangan yang menjadi ciri rakyat Filipina.

“Pada hari pertama 2026, ASEAN akan memulakan bab baharu.

“Pada petang ini, saya berbesar hati untuk menandakan peralihan tersebut dan secara rasmi menyerahkan tugas Pengerusi (ASEAN) kepada Filipina.

“Kepada sahabat saya, Presiden Marcos Jr, ketika anda memikul tanggungjawab ini, saya yakin bahawa di bawah pimpinan anda yang tenang dan berwibawa, ASEAN akan terus ke depan dengan kejelasan, ketenteraman, kemesraan dan keseimbangan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button