BERITA SEMASA

Situasi banjir di Sabah makin pulih

KOTA KINABALU – Situasi banjir di negeri ini semakin pulih apabila semua mangsa di Beaufort dan Sipitang dibenarkan pulang pagi tadi dengan hanya pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Penampang, Papar dan Membakut masih dibuka.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh yang masih berlindung di PPS turun mendadak kepada 1,476 orang daripada 459 keluarga berbanding 2,256 orang daripada 710 keluarga petang semalam, lapor BERNAMA.

Membakut mencatatkan jumlah tertinggi dengan 738 mangsa banjir daripada 247 keluarga di 13 PPS, diikuti Penampang yang menempatkan 493 mangsa banjir dan tanah runtuh daripada 141 keluarga di enam PPS, manakala satu lagi PPS di Papar dengan 245 mangsa banjir daripada 71 keluarga.

“Sebanyak 53 kampung masih terjejas pagi ini berbanding 120 kampung petang semalam, dengan Penampang (24 kampung), Papar (20) dan Membakut (sembilan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Di Sarawak, JPBN memaklumkan 13 orang daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi setakat 9 pagi tadi.

Laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras sungai di stesen Long Teru dan Marudi di Miri serta Lubok Piasau II di Limbang menurun sedikit susulan cuaca baik, namun masih melebihi paras bahaya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button