SpaceX sekat ribuan peranti Starlink di Myanmar dipercayai digunakan untuk penipuan siber
YANGON – SpaceX menamatkan perkhidmatan lebih 2,500 peranti internet Starlink yang disyaki digunakan pusat penipuan (scam centre) di Myanmar.
Penamatan perkhidmatan itu susulan siasatan AFP yang mendedahkan pembinaan pusat-pusat tersebut masih giat dijalankan, manakala penerima isyarat Starlink dipasang secara besar-besaran, dipercayai menghubungkan pusat-pusat berkenaan kepada rangkaian internet satelit milik Elon Musk.
Kompleks yang menempatkan penjenayah siber yang mensasarkan warga asing melalui penipuan cinta dan perniagaan telah berkembang pesat di sepanjang sempadan Myanmar yang tidak dikawal sepenuhnya sejak tercetusnya perang saudara akibat rampasan kuasa pada tahun 2021.
Naib Presiden Operasi Perniagaan Starlink, Lauren Dreyer berkata, pihaknya telah “menyahaktifkan lebih 2,500 set Starlink di kawasan yang disyaki sebagai ‘pusat penipuan’” di Myanmar.
Catatannya di platform X itu tidak menyatakan bila sambungan terminal tersebut diputuskan.
Industri penipuan dalam talian di Asia Tenggara dilaporkan berkembang pesat, dengan mangsa dianggarkan kehilangan sekitar AS$37 bilion setahun pada 2023, menurut laporan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC).
Hujung minggu lalu, Kemboja telah menghantar pulang 64 warga Korea Selatan yang dituduh terlibat dalam rangkaian penipuan, dengan pihak polis memohon waran tangkap bagi kebanyakan mereka sebaik tiba di negara asal mereka.
Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Vorapak Tanyawong, turut meletakkan jawatan pada semalam selepas dikaitkan dengan rangkaian penipuan siber berpangkalan di Kemboja.
Kawasan sempadan Myanmar yang bersempadan dengan Thailand dan China dilihat menjadi lokasi utama bagi pusat operasi penipuan, di mana sebahagian pekerja diperdaya atau diperdagangkan, manakala sebahagian lain bekerja secara sukarela.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












