JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM mohon reman Albert Tei, Shamsul Iskandar pagi esok

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan permohonan reman terhadap ahli perniagaan, Albert Tei dan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, permohonan itu dibuat bagi membantu siasatan kes dakwaan rasuah melibatkan pemberian wang kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Menurut beliau, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing ditahan di kediamannya pada 10.15 pagi hari ini selepas enggan hadir lebih awal walaupun diminta SPRM, sedangkan beliau pada asalnya dijadual hadir memberi keterangan pada 1 Disember.

“Albert Tei merupakan individu penting dalam membantu siasatan kes ini.

“SPRM turut menyerahkan notis Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah yang memberi kuasa menafikan hak suspek untuk menghubungi peguam dalam keadaan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Shamsul Iskandar hadir memberi keterangan sekitar 12 tengah hari sebelum ditahan pada 12.51 tengah hari.

Sebelum itu, seorang wanita, Sofia Rini Buyong ditahan pada 10.30 malam, 27 November, ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM.

Mahkamah Majistret Putrajaya kemudiannya membenarkan reman selama empat hari sehingga 1 Disember 2025.

Azam turut berkata, siasatan dijalankan mengikut prosedur dan undang-undang serta tidak dipengaruhi mana-mana pihak memandangkan kes ini berkepentingan awam.

“Mana-mana pihak yang ingin mempertikaikan tindakan SPRM boleh berbuat demikian di mahkamah.

“Saya telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu bagi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya lagi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button