BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

SPRM reman lima pengusaha kebun haram Musang King

KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman lima lelaki termasuk seorang pekerja kilang durian kerana disyaki terbabit mengusahakan kebun durian haram Musang King di tanah kerajaan serta hutan simpan di sebuah daerah di negeri ini.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 40 hingga 60-an itu ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub.

Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Oktober ini dikeluarkan oleh Majistret, Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati aktiviti tersebut dijalankan sejak 2024 hingga tahun ini dengan keuntungan haram mencecah ratusan ribu ringgit.

Empat daripada suspek merupakan pekebun yang dipercayai mengusahakan kebun itu secara turun-temurun selain enggan menyertai program pemutihan ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn. Bhd., iaitu pemegang pajakan tanah sah dilantik kerajaan negeri.

Rentetan Op Sekat Durian Haram yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang sejak 25 April 2024, SPRM bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam operasi bersepadu yang dijalankan antara 2 hingga 19 September lalu.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button