JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM sita 23 jam Rolex RM2 juta di kediaman isteri kedua bekas panglima tentera darat

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset mewah termasuk 23 utas jam Rolex dianggarkan bernilai RM2.2 juta di sebuah kediamanan dipercayai milik isteri kedua bekas pegawai tinggi tentera darat (TDM), pagi ini.

Menurut sumber, hasil penggeledahan di kediaman di negeri Pantai Timur itu membawa kepada penemuan dua buah bagasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan mewah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa kira-kira RM2 juta.

“Selain itu, SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat dengan nilai dianggarkan sekitar RM225,000,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya ditahan oleh SPRM baru-baru ini bagi membantu siasatan berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat Malaysia (TDM).

Sumber memaklumkan, kesemua barangan berkenaan disita bagi membantu siasatan lanjut berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang sedang dijalankan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penggeledahan dan sitaan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung siasatan kerana kes masih berada di peringkat awal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button