PENDAPATRENCANA

SPRM tegas hukum pesalah, cegah rasuah dari akar umbi

Oleh DATUK ZAINUL DARUS

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi hanya berperanan sebagai ‘pemadam api’ sebaliknya bergerak sebagai benteng hadapan yang menggabungkan tindakan tegas dan langkah pencegahan bagi memerangi jenayah itu.

Strategi dwipendekatan iaitu tindakan punitif (hukuman) dan pendekatan non-punitif (pencegahan dan pembaikan sistem) bukan sekadar memastikan pesalah menerima hukuman setimpal bahkan berfungsi membaiki kelemahan sistem pentadbiran supaya ruang dan peluang rasuah dapat ditutup rapat.

Pendekatan punitif SPRM merangkumi pendakwaan di mahkamah, pelucuthakan aset (melucutkan hak), malah kompaun di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001.

SPRM bertanggungjawab memastikan pesalah menerima hukuman setimpal akibat mengambil atau memberi rasuah.

Bayangkan seorang pegawai menerima suapan untuk meluluskan projek, bukan sahaja dia bakal diheret ke muka pengadilan malah aset diperoleh secara haram turut disita.

Pesalah bukan sekadar dihukum, malah dinafikan menikmati hasil perbuatan mereka.

Kaedah kompaun pula digunakan bagi kes tertentu, khususnya pengubahan wang haram bagi menyelesaikan kes tanpa proses perbicaraan yang panjang, sambil memastikan aset negara dapat dipulihkan.

Tidak semua kes berakhir di mahkamah. Jika tiada bukti jenayah yang mencukupi, SPRM tetap bertindak melalui langkah non-punitif seperti pemantauan, kajian prosedur dan khidmat nasihat kepada kementerian atau jabatan.

Apabila kelemahan dikenal pasti, pembaikan segera dicadangkan bagi menutup ruang penyalahgunaan kuasa.

Dalam masa sama, ketua jabatan akan dimaklumkan jika wujud pelanggaran tatakelakuan, membolehkan tindakan disiplin seperti buang kerja atau turun pangkat diambil segera.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Pegawai yang pernah mencemar nama baik organisasi juga boleh dikecualikan daripada menguruskan urusan sensitif. Langkah ini tentunya dapat melindungi integriti institusi daripada dirosakkan berulang kali.

SPRM kini memanfaatkan teknologi Analisis Data Raya untuk mengenal pasti pola dan trend rasuah. Dengan data pintar ini, SPRM mampu bertindak lebih proaktif, menyasarkan langkah pencegahan dengan ketepatan yang lebih tinggi.

Gabungan hukuman keras dan langkah pencegahan yang bersasar membuktikan SPRM tidak hanya bertindak selepas sesuatu berlaku. Sebaliknya, ia membina ekosistem tadbir urus yang telus, berintegriti dan berdaya tahan demi memastikan pentadbiran negara bebas rasuah, rakyat sejahtera dan Malaysia terus maju.

  • Penulis ialah Pengarah Kanan Siasatan SPRM. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysia Tribune.
    Datuk Zainul Darus

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button