SUKAN

SUKMA 2026 tampil dengan 34 acara, penyertaan wanita dan atlet para diperluas

SHAH ALAM – Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos depan bakal menyaksikan 34 acara sukan dipertandingkan selepas beberapa ketetapan penting dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA di sini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dua acara iaitu tinju dan sofbol telah disahkan sebagai sukan wajib tambahan, menjadikan keseluruhan 30 sukan wajib untuk temasya kali ini.

“Manakala empat lagi sukan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi diluluskan sebagai sukan tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan 34 jenis sukan dipertandingkan di SUKMA Selangor 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah berkata, keputusan itu adalah muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan akan dipertimbangkan bagi memastikan pihak penganjur mempunyai tempoh mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang penganjuran temasya yang bakal berlangsung di sembilan daerah seluruh negeri.

“Isu kurangnya penglibatan atlet wanita dan pegawai teknikal wanita dalam SUKMA 2024 yang lalu turut dibincangkan secara serius. Beberapa langkah telah dicadangkan dan dipersetujui termasuk kewajipan melantik sekurang-kurangnya seorang ketua atau timbalan ketua kontinjen wanita bagi setiap negeri serta pelaksanaan kuota minimum untuk pegawai sokongan, teknikal dan sukarelawan wanita.

“Setiap pasukan wanita atau acara yang melibatkan pemeriksaan fizikal turut diwajibkan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pegawai wanita,” katanya lagi.

Selain itu, acara sukan yang bersifat terbuka juga perlu melibatkan penyertaan atlet dari kedua-dua jantina, manakala acara sukan tersenarai dalam Sukan Olimpik tetap akan dijalankan meskipun tidak mencapai penyertaan minimum atlet wanita seperti sebelum ini.

Hannah berkata, SUKMA 2026 turut mencatat sejarah tersendiri apabila menerima penyertaan rasmi Kontinjen Negara Brunei Darussalam buat pertama kali.

“Jumlah dan jenis sukan yang akan disertai oleh Brunei akan diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Terdahulu, Mesyuarat Exco Belia dan Sukan Negeri-Negeri yang berlangsung sebelum itu turut bersetuju bahawa bermula edisi 2026, pengurusan kontinjen negeri ke Para SUKMA akan dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri, menggantikan peranan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Hannah berkata, langkah itu bertujuan memperkemaskan tadbir urus pembangunan dan persiapan atlet Para secara lebih menyeluruh dan berfokus di peringkat negeri.

“SUKMA Selangor 2026 bukan sahaja menjadi medan pencarian atlet berprestasi tinggi, malah turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkasa pembangunan belia, memperluas penyertaan wanita dan menyokong inklusiviti sukan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button