Taman Wetland Putrajaya tawar pengalaman berkhemah dalam bandar
PUTRAJAYA – Warga kota kini tidak lagi perlu keluar jauh dari bandar untuk menikmati pengalaman berkhemah bersama keluarga apabila Tapak Perkhemahan Taman Wetland Presint 13, Putrajaya yang dinaik taraf mula menawarkan pengalaman rekreasi alam semula jadi dengan kemudahan lebih selesa dan mesra keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif tersebut selaras dengan aspirasi menjadikan Putrajaya sebagai bandar raya hijau dan berdaya huni.
Menurutnya, pembangunan bandar bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap kualiti hidup rakyat bersama keluarga dan komuniti.
“Tapak perkhemahan ini memberi peluang kepada warga bandar menikmati aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi tanpa perlu keluar jauh dari ibu kota,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sehingga Mac 2026, Putrajaya merekodkan lebih enam juta pengunjung dan pelancong berbanding 4.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, peningkatan tersebut menunjukkan aktiviti rekreasi berasaskan alam semula jadi terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat bandar.
Dalam pada itu, jumlah pengunjung ke Taman Wetland Putrajaya turut mencatat peningkatan sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Seramai 444,938 pengunjung direkodkan pada tahun 2023 sebelum meningkat kepada 473,602 pada tahun 2024 dan seterusnya 487,371 pengunjung pada tahun 2025,” katanya lagi.
Menurut Hannah, tapak perkhemahan berkenaan dibangunkan di kawasan seluas 5,210 meter persegi dengan 48 ruang khemah yang mampu menampung antara 120 hingga 200 pengguna pada satu-satu masa.
Katanya, kadar sewaan ditawarkan bermula serendah RM50 bagi tempoh dua hari satu malam.
Pengunjung juga boleh menyewa khemah dan kelengkapan lain termasuk kerusi, katil serta lampu.
“Operator yang dilantik Perbadanan Putrajaya turut menawarkan inisiatif ‘weekday discount’ kepada pengunjung yang mahu menikmati suasana perkhemahan lebih tenang dan kurang sesak,” katanya lagi.
Tambah beliau, antara kemudahan yang disediakan ialah tandas, bilik mandi, surau, bekalan elektrik, kawasan parkir, dewan makan dan ruang terbuka untuk aktiviti komuniti serta kekeluargaan.
Selain itu, pengunjung turut boleh menikmati pelbagai aktiviti riadah seperti ATV, berbasikal, flying fox, wall climbing, abseiling, leap of faith dan jungle trekking.
Tarikan utama di kawasan tersebut ialah dual zipline sepanjang 420 meter yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai “Longest Parallel Double Zipline” di Malaysia.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi Perbadanan Putrajaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












