Tarif baharu elektrik bukti rakyat diutamakan dalam reformasi tenaga negara
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu mulai 1 Julai ini merupakan bukti komitmen kerajaan melaksanakan reformasi besar dalam sektor tenaga negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah tersebut selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan peningkatan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dan pengurangan pelepasan karbon menjelang 2050, lapor BERNAMA.
“Di bawah jadual tarif baharu ini, sebanyak 85 peratus pengguna domestik pemilik akaun dijangka terus menikmati kadar elektrik yang sama atau lebih rendah, sekiranya penggunaan tidak melebihi 1,000 kilowatt jam sebulan bermula 1 Julai 2025.
“Inilah antara reformasi besar yang sedang digerakkan secara bersepadu oleh kerajaan bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ini membuktikan bahawa dalam membawa pembaharuan, manfaat kepada rakyat masih menjadi keutamaan,” katanya.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di IWK Eco Park, Pantai Dalam, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Julina Johan.
Suruhanjaya Tenaga (ST) kelmarin memaklumkan, lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menikmati kadar elektrik yang lebih adil dan progresif menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang telah diluluskan kerajaan.
Tarif tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
Suruhanjaya itu turut memaklumkan, perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) melibatkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.
Tambahnya, tarif tersebut akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027 mengikut kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












