Tat Meng ucap terima kasih, terharu dengan sokongan Hannah, MSN
KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih badminton kebangsaan, Wong Tat Meng, menzahirkan rasa terharu atas keprihatinan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak melupakannya ketika sedang menjalani proses pemulihan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sydney, Australia.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Tat Meng mengucapkan terima kasih kepada Hannah dan MSN atas kiriman bunga serta ucapan semangat yang diterimanya biarpun kini berada di luar negara.
“Terima kasih yang tulus ikhlas kepada YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, serta Majlis Sukan Negara (MSN) atas kiriman bunga dan ucapan yang penuh perhatian.
“Saya amat terharu menerima sokongan ini walaupun sedang menjalani pemulihan di Australia. Sokongan anda semua memberi semangat untuk saya terus kuat dan pulih sepenuhnya,” tulisnya.
Jurulatih berusia 58 tahun itu dilaporkan cedera parah selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Putty Road, Garland Valley, pada 7 September lalu.
Sebagai rekod, Tat Meng pernah bersama pasukan kebangsaan Scotland, Korea Selatan dan Hong Kong.
Beliau juga pernah membimbing pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia, sehingga berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum berpisah pada Disember lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






