Kerajaan tegas tolak budaya songsang
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan pendirian kerajaan tidak berkompromi dalam normalisasi budaya hidup songsang di Malaysia.
Beliau menyifatkan program Pride Care: Queer Stories & Sexual Health Awareness yang tular baru-baru ini sebagai usaha halus untuk meraikan ‘Pride Month’ yang dipelopori gerakan LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer).
“Meskipun program berkenaan dianjurkan secara tertutup, ia tetap dilihat mencabar norma masyarakat dan nilai agama yang dipegang oleh majoriti rakyat Malaysia.
“Malaysia menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan dan menghormati nilai budaya Timur. Oleh itu, sebarang aktiviti yang mempromosikan gaya hidup LGBTQ adalah bertentangan dengan Perlembagaan, undang-undang dan dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap penganjuran program terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya jika didapati berlaku pelanggaran undang-undang.
“Saya menyeru penganjur menghentikan serta-merta semua bentuk aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan nilai moral masyarakat.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar prinsip perundangan negara, malah turut menggugat keharmonian sosial serta sensitiviti majoriti rakyat Malaysia yang berpegang kepada ajaran agama dan budaya Timur,” tegas beliau.
Beliau menggesa agensi-agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri memainkan peranan penguatkuasaan yang lebih tegas, khususnya apabila melibatkan penyertaan umat Islam.
“Penglibatan aktif institusi agama penting dalam membendung sebarang bentuk pencerobohan terhadap norma syariah serta memastikan nilai-nilai murni terus terpelihara dalam masyarakat.
“Kerajaan MADANI akan terus berpegang kepada prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus negara bagi memelihara agama, akhlak dan maruah masyarakat,” tegasnya.
Seruan disampaikan dalam mempertahankan struktur sosial dan nilai murni daripada sebarang ancaman yang berpotensi menjejaskan akidah, tatasusila, serta keharmonian negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












