Tentera AS guna sistem peluru berpandu baharu serang Iran
NEW YORK – Tentera Amerika Syarikat (AS) dipercayai menggunakan sistem peluru berpandu baharu dalam serangannya ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Laporan NY Times menyebut, peluru berpandu baharu yang dikenali sebagai Peluru Berpandu Serangan Tepat (PrSM) itu mengenai tapak awam termasuk sebuah dewan sukan dan sebuah sekolah rendah berhampiran kompleks ketenteraan di bandar Lamerd, selatan Iran.
Dalam serangan itu, sekurang-kurangnya 21 orang awam terbunuh.
PrSM merupakan peluru berpandu balistik jarak dekat yang dibangunkan oleh Tentera Darat AS dan direka untuk meletup di udara di atas kawasan sasaran dan menyebarkan butiran tungsten kecil, sekali gus menghasilkan kerosakan serpihan yang meluas.
Analisis terhadap video dan gambar di lokasi menunjukkan corak kerosakan yang selari dengan ciri-ciri sistem PrSM yang diketahui.
Seorang pegawai AS turut mengesahkan kepada NY Times bahawa peluru berpandu yang digunakan dalam serangan di Lamerd ialah PrSM.
Pakar senjata yang ditemu bual NY Times turut berkata, bukti visual yang ada menyokong kuat kesimpulan bahawa PrSM digunakan dalam serangan tersebut.
“Walaupun kita tahu PrSM telah digunakan, ini adalah kali pertama kita melihat kesan sebenar sistem ini,” kata Jeffrey Lewis, pakar bukan proliferasi nuklear di Middlebury College selepas meneliti video dan gambar kejadian.
Frederic Gras, seorang lagi pakar persenjataan, turut menyokong penilaian tersebut.
“Corak kerosakan serpihan itu amat ketara dan sepadan dengan maklumat teknikal terhad yang tersedia mengenai PrSM,” beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












