BERITA SEMASA

Tiada ‘lockdown’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN – Fahmi

PUTRAJAYA – Tiada sebarang penutupan penuh atau lockdown akan dilaksanakan di ibu negara sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula Ahad ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hanya penutupan jalan secara sementara dan berjadual akan dilakukan bagi memastikan kelancaran pergerakan pemimpin-pemimpin negara serta delegasi yang menghadiri sidang tersebut.

“Tiada lockdown di Kuala Lumpur. Namun, sekiranya terdapat penutupan jalan secara berkala, orang ramai boleh merujuk kepada Ketua Polis Kuala Lumpur untuk maklumat lanjut,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Fahmi berkata, penutupan jalan akan bermula pada 26 Oktober melibatkan kawasan sekitar KLCC sebagai langkah keselamatan dan persiapan menjelang sidang kemuncak berkenaan.

Beliau turut berkata, Perdana Menteri Timor-Leste merupakan ketua kerajaan pertama tiba di Malaysia tengah hari tadi, dan ketibaannya disambut di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Selepas ini, beberapa ketua kerajaan dan ketua negara lain akan tiba secara berperingkat menjelang sidang kemuncak pada Ahad,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Fahmi menzahirkan penghargaan kepada pengamal media yang bakal membuat liputan sepanjang persidangan tersebut.

“Kita menerima penyertaan lebih 300 wartawan antarabangsa termasuk dari Jepun, menjadikan penganjuran kali ini antara yang terbesar dalam sejarah Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button