BERITA SEMASALUAR NEGARA

Tidak endah aduan pekerja, klinik gigi diperintah bayar RM150,000

EDINBURGH – Sebuah klinik pergigian diperintah membayar pampasan berjumlah £25,000 (kira-kira RM150,000) kepada kakitangannya selepas didapati gagal mengambil tindakan terhadap aduan suasana kerja tidak harmoni antara kakitangan.

Tribunal pekerjaan memutuskan, Maureen Howieson, 64, seorang jururawat pergigian berpengalaman lebih 40 tahun, berhak menerima pampasan selepas menjadi mangsa perlakuan biadab, membuli dan gangguan emosi oleh rakan sekerjanya, Jisna Iqbal.

Antara tingkah laku Jisna yang dilaporkan tidak bersikap profesional adalah membuat reaksi wajah kurang senang setiap kali Howieson bercakap, mengabaikan peranan sekaligus mewujudkan persekitaran kerja yang penuh tekanan.

Keadaan itu menyebabkan Howieson mengalami serangan panik, menitiskan air mata di tempat kerja sehingga akhirnya meletakkan jawatan.

Tribunal juga diberitahu bahawa pihak pengurusan klinik Great Junction Dental Practice gagal menunaikan janji untuk menyelesaikan konflik malah membiarkan keadaan berlarutan sehingga menjejaskan kesihatan mental pekerja berkenaan.

Hakim Ronald Mackay dalam keputusannya menegaskan bahawa kegagalan majikan mengendahkan aduan pekerja merupakan satu kelalaian serius dan tidak boleh diterima.

Beliau menambah, janji-janji yang diberikan kepada mangsa tidak pernah ditunaikan, sekali gus membiarkan suasana kerja yang bermusuhan berlarutan tanpa tindakan sewajarnya.

Dr. Jisna Iqbal yang didakwa menimbulkan suasana tidak harmoni di tempat kerja sehingga memaksa Howieson berhenti kerja.

Menurut Tribunal, hubungan kedua-dua wanita itu mula meruncing apabila Jisna mengambil alih tugas menyambut tetamu ketika Howieson sedang cuti sakit.

Howieson yang menghidap artritis kemudiannya dipindahkan ke tugas kaunter, manakala Jisna ketika itu belum layak untuk bertugas di United Kingdom walaupun bergelar doktor pakar di India.

Situasi menjadi bertambah buruk apabila Howieson mendakwa dirinya diperlakukan seperti ‘sekadar seorang pencuci’ dan insiden kemuncak berlaku pada September 2024 apabila beliau mengalami serangan panik di klinik.

Kesudahannya, Howieson membuat keputusan untuk berhenti kerja selepas komitmennya pada majikan ‘dibalas’ dengan kesilapan bayaran gaji pada Oktober tahun lalu yang disifatkan titik terendah dalam kerjanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button