Tidak hadir bertugas, anggota polis ditemukan meninggal dunia dalam rumah
KAJANG — Seorang anggota polis dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditemukan meninggal dunia di kediaman sewanya di sebuah pangsapuri di Bandar Mahkota Cheras, di sini semalam.
Mangsa, seorang lans koperal berusia 37 tahun, ditemukan selepas rakan setugasnya menyedari ketiadaannya di tempat kerja dan bertindak mencarinya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.59 pagi daripada seorang anggota polis berusia 20 tahun.
“Pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil bagi membantu membuka pintu rumah mangsa.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kajang yang tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat, yang kemudiannya mengesahkan punca kematian akibat saluran jantung tersumbat.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Zharif Shah Ab Rashid di talian 012-592 5390 atau hadir ke Balai Polis Kajang bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











