BERITA SEMASAPOLITIK

Tidak tahu bahasa Melayu atau sengaja nak cipta persepsi jahat – Steven Sim tempelak Zaharudin

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim hari ini tampil menjawab dakwaan seorang pemimpin PAS yang mengatakan pusat khidmatnya tidak dibuka semasa kunjungan beliau semalam.

Menerusi kenyataan di Facebook, Steven menjelaskan bahawa pusat khidmatnya memang ditutup pada hari berkenaan kerana beliau dan para staf menghadiri majlis pengebumian datuk kandungnya yang meninggal dunia.

“Sebenarnya, ini isu peribadi keluarga dan saya tidak berhasrat nak uar-uarkan. Pada hari itu, saya telah menghadiri pengebumian datuk kandung yang telah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Menurut beliau, notis penutupan pusat khidmat telah pun ditampal lebih awal, lengkap dengan empat nombor telefon untuk dihubungi sekiranya berlaku kecemasan atau urusan mendesak.

Steven turut mempersoalkan tindakan pemimpin PAS itu yang didakwa hadir sebanyak dua kali ke pejabat iaitu pada pukul 3.30 dan 5.15 petang, lalu menimbulkan persepsi seolah-olah pejabat beliau tidak beroperasi.

“Tindakan pemimpin PAS itu adalah sama ada kerana dia tak tahu baca bahasa Melayu ataupun memang sengaja nak cipta persepsi jahat,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau sentiasa mengalu-alukan kedatangan sesiapa sahaja ke pejabatnya tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau parti politik.

BACA : Pejabat Steven Sim tutup, hadiri pengebumian datuk ketika Zaharudin mahu serah LOD

“Sebelum ini pun ada orang parti dia datang ke pejabat saya memohon bantuan,” kata Steven yang merupakan Menteri Sumber Manusia.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menempelak tindakan politik pemimpin PAS tersebut yang disifatkannya sering menimbulkan provokasi.

Zaharudin (tengah) hadir ke pejabat Steven di Bukit Mertajam semalam untuk menghantar LOD.

Steven merujuk kepada isu terdahulu di mana pemimpin itu memuat naik gambar pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim dengan komen yang dianggap berbaur perkauman.

Mengulas tentang dakwaan kononnya beliau akan menerima surat tuntutan (LOD) dan diminta membuat permohonan maaf secara terbuka, Steven berkata beliau tidak menemui sebarang surat di pejabatnya pada pagi ini.

Sebagai respon, beliau menutup kenyataannya dengan sindiran puitis:

“Adat berkunjung, harus memaklum,
Adat bertandang, elok dijemput;
Kilat bersabung, hujan pun belum,
Tuan memberi, saya menyahut.
See you in court!”

Terdahulu, Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad memuat naik videonya hadir ke Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu semalam untuk menghantar LOD.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan pejabat Steven ditutup dan tiada staf yang datang membantu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button