BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Tiga lelaki larikan peti besi di Bemban diburu polis

JASIN – Polis kini memburu tiga lelaki yang memakai baju berpenutup kepala (hoodie) dipercayai terlibat dalam kejadian pecah rumah di Taman Anjung Gapam, Bemban, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.20 malam ketika ketiga-tiga suspek dipercayai menceroboh kediaman seorang pengurus pusat kecantikan ketika mangsa tiada di rumah.

Menurut beliau, mangsa iaitu seorang wanita tempatan berusia 37 tahun hanya menyedari rumahnya diceroboh selepas menerima notifikasi kamera litar tertutup (CCTV) pada telefon bimbitnya ketika dalam perjalanan pulang.

“Rakaman CCTV menunjukkan dua suspek berada di dalam rumah manakala seorang lagi dilihat memantau keadaan di luar sebelum bantuan unit peronda polis membawa mangsa pulang ke kediamannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek melarikan wang tunai pelbagai mata wang asing termasuk dari China, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Eropah dan Korea yang disimpan dalam laci almari bilik utama dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,500.

Terdahulu, beberapa rakaman CCTV tular di media sosial memaparkan ketiga-tiga suspek berlegar di kawasan perumahan berkenaan sebelum kejadian.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan lapan cap jari dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan bagi mengesan pergerakan suspek.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Fadzlan Fitri Mis di talian 018-3511594 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button