BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kes tikam pelajar perempuan: Pelajar lelaki didakwa hari ini

PETALING JAYA – Seorang pelajar lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas kesalahan membunuh seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.

Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, AGC telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar perempuan itu.

AGC berkata, hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap seorang pelajar lelaki yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Justeru itu, AGC memutuskan untuk mendakwa pelajar terbabit di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan [Akta 574] kerana kesalahan membunuh.

Pada 15 Oktober lepas, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mengeluarkan perintah agar remaja berusia 14 tahun itu yang juga pelajar di sekolah yang sama dengan mangsa, direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada 14 Oktober, pelajar perempuan itu ditemukan meninggal dunia di dalam tandas di sekolah itu, selepas disyaki ditikam berulang kali oleh pelajar lelaki itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati, punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman berulang kali pada bahagian dada dan leher.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button