BERITA SEMASA

TikTok dipanggil ke Bukit Aman isu berita palsu, Meta turut dalam radar

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan TikTok akan dipanggil ke Bukit Aman pada Khamis ini bagi memberikan penjelasan berhubung isu penyebaran berita palsu dan keselamatan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu diambil selepas pihak berkuasa mendapati platform berkenaan terlalu lambat memberikan kerjasama dalam beberapa kes yang melibatkan maklumat palsu.

“Pihak TikTok sangat lambat memberikan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga saya sendiri terpaksa menghubungi CEO TikTok, Shou Zi Chew. Sikap itu tidak boleh kita biarkan,” katanya memetik Awani online.

Menurut Fahmi, mesyuarat berkenaan akan turut disertai Ketua Polis Negara dan Peguam Negara bagi menekankan kepentingan pematuhan undang-undang media sosial di Malaysia.

Beliau menambah, selain TikTok, pihak pengurusan Meta juga akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membincangkan isu kandungan berunsur pedofilia, kegiatan geng sekolah serta penyebaran maklumat berbahaya di WhatsApp dan Facebook.

“Kita dapati banyak masalah yang berlaku di platform-platform ini, namun mereka tidak mengambil sikap yang serius. Proses dialog akan diteruskan dan kita akan beri penegasan bahawa mereka wajib akur dengan undang-undang negara,” jelasnya lagi.

Fahmi turut berkata, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bulanan bersama syarikat media sosial utama bagi memastikan isu keselamatan siber ditangani secara lebih tegas dan berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button