TLDM selamatkan dua nelayan Indonesia hanyut tiga hari di perairan negara
LUMUT – Dua nelayan warga Indonesia yang hanyut di tengah laut sejak tiga hari lalu berjaya diselamatkan oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhampiran Pulau Jarak, lewat malam semalam.
Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam kenyataan berkata, kedua-dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun itu ditemui dalam keadaan letih selepas terkandas sejak 21 Jun lalu akibat kerosakan enjin bot selepas keluar menangkap ikan dari Tanjung Balai, Indonesia.
“Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan lemah akibat keletihan dan cuaca laut yang bergelora, namun berjaya diselamatkan oleh kru Stesen Jarak TLDM yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Bertindak atas dasar kemanusiaan, kru TLDM memberikan bantuan kecemasan, perlindungan sementara serta membekalkan makanan dan keperluan asas kepada nelayan terbabit.
Selain itu, bot yang mengalami kerosakan turut dibaiki oleh anggota TLDM sebelum tindakan lanjut diambil.
“Maklumat kejadian telah disalurkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak untuk siasatan lanjut dan proses dokumentasi.
“Bot yang telah dibaiki diiringi keluar dari perairan negara oleh kapal penguat kuasa KM MALAWALI,” menurut kenyataan itu.
TLDM menegaskan komitmennya untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara, di samping membantu komuniti maritim tanpa mengira kewarganegaraan, selaras dengan prinsip undang-undang dan konvensyen antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












