LUAR NEGARA

Tribunal Gaza desak ‘pelaku dan penyokong Israel’ bertanggungjawab

ISTANBUL – Tribunal Gaza menyatakan Israel sedang melakukan genosid di Gaza dan menegaskan bahawa “pelaku Israel dan penyokong barat mereka” tidak harus dibiarkan terlepas daripada keadilan atas jenayah yang dilakukan.

Keputusan tribunal tidak rasmi itu diumumkan semalam selepas empat hari pendengaran awam di Istanbul, Turkiye, lapor Al Jazeera.

Ia merupakan hasil proses selama setahun yang melibatkan pengumpulan maklumat, keterangan daripada saksi dan mangsa serta pengarkiban bukti.

Tribunal ini ditubuhkan di London pada November tahun lalu.

Presiden Tribunal Gaza, Richard Falk yang merupakan bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin berkata, genosid perlu didokumenkan.

“Kami percaya bahawa genosid mesti dikenali dan didokumentasikan kerana impunitinya menyuburkan keganasan yang berterusan di seluruh dunia.

“Genosid di Gaza adalah isu kemanusiaan sejagat. Apabila negara-negara bersikap diam, masyarakat sivil boleh dan harus bersuara,” katanya.

Dalam penghakiman moralnya, juri tribunal mengecam genosid di Gaza serta jenayah lain termasuk pemusnahan besar-besaran rumah kediaman, penafian makanan kepada penduduk awam, penyeksaan dan penyasaran terhadap wartawan.

Tribunal turut mengkritik rancangan pasca-perang yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron kerana menganggap ia mengabaikan hak rakyat Palestin di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak melakukan apa-apa untuk mengekang pelaku genosid.

Juri tribunal menegaskan bahawa Palestin harus memimpin pemulihan Gaza dan Israel mesti bertanggungjawab.

“Rakyat Palestin mesti memimpin pemulihan Gaza dan Israel serta penyokongnya mesti dipertanggungjawabkan untuk semua pampasan,” katanya.

Israel kini menghadapi tuduhan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) melalui kes yang dibawa oleh Afrika Selatan.

Walaupun keputusan ICJ dijangka mengambil masa bertahun-tahun, keputusan interim pada Januari 2024 menyatakan bahawa kemungkinan Israel melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948.

Israel bagaimanapun menafikan sebarang tuduhan melakukan genosid di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button