Trump dakwa Maduro berjaya ditangkap
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa pihaknya berjaya menangkap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isteri dalam serangan ketenteraan berskala besar ke atas Caracas yang dilaksanakan awal pagi tadi.
Menurutnya, Maduro telah diterbangkan keluar dari negara itu, memetik laporan BBC News.

Perkara itu dimaklumkan Trump melalui platform media sosial Truth. Beliau juga memberitahu sidang media mengenai operasi tersebut akan diadakan di Mar a Lago pada pukul 11 pagi (12 tengah malam waktu Malaysia).
“Amerika Syarikat telah berjaya melaksanakan serangan berskala besar ke atas Venezuela. Presiden Nicolas Maduro dan isterinya telah ditangkap dan diterbangkan keluar dari negara tersebut. Operasi ini dijalankan dengan kerjasama pihak Penguatkuasaan Undang-Undang AS,” tulis Trump.
Terdahulu, kerajaan Venezuela memaklumkan serangan turut melibatkan beberapa negeri termasuk Miranda, Aragua dan La Guaira sehingga memaksa Maduro mengisytiharkan darurat selain menggerakkan tenteranya.
Letupan kuat, bunyi pesawat terbang rendah dan kepulan asap hitam dilaporkan dapat dilihat di sekitar ibu negara Caracas bermula kira-kira pukul 2 pagi dan berlarutan selama hampir 90 minit, memetik laporan media antarabangsa.

Saksi turut melaporkan gangguan bekalan elektrik di kawasan selatan Caracas, berhampiran sebuah pangkalan tentera utama.
Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino Lopez turut menggerakkan pasukan tentera di seluruh negara.
Beliau turut menyeru supaya mewujudkan satu barisan yang bersatu menentang ‘serangan paling teruk’ pernah dialami negara itu.
“Mereka menyerang kita, tetapi mereka tidak akan menundukkan kita,” kata Lopez.
Trump sebelum ini berulang kali memberi amaran mengenai kemungkinan operasi ketenteraan, termasuk serangan darat terhadap negara pengeluar minyak utama di Amerika Selatan itu, yang dipimpin Maduro sejak 2013.
AS, pihak pembangkang dan beberapa negara lain menuduh Maduro memanipulasi pilihan raya tahun lalu bagi mengekalkan kuasa, dakwaan yang dinafikan kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










