Trump kongsi imej pasport edisi khas sempena ulang tahun ke-250 AS
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memperkenalkan reka bentuk pasport edisi terhad baharu sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu yang menampilkan potret dirinya dengan ekspresi serius serta slogan ‘Selamat Datang, tetapi berkelakuan baik!’.
Pengumuman itu dibuat Trump menerusi hantaran di platform media sosial miliknya, Truth Social semalam sambil turut berkongsi imej reka bentuk pasport berkenaan.
Pasport edisi khas itu memaparkan wajah Trump dengan riak wajah tegas di atas meja bersama tandatangannya, manakala latar belakangnya dihiasi teks Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat.
Reka bentuk tersebut dipercayai menggunakan potret yang dirakam oleh jurugambar rasmi Rumah Putih, Daniel Torok.
Pada halaman bertentangan, terdapat ilustrasi yang menggambarkan pemeteraian Pengisytiharan Kemerdekaan pada tahun 1776, disertakan tulisan ‘United States of America 250’.
Rumah Putih turut berkongsi imej pasport berkenaan dengan label ‘Patriot Passport’.
Sebelum ini, Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa pasport peringatan dengan karya seni khas akan mula ditawarkan kepada orang ramai bermula 6 Julai, namun setakat ini belum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung reka bentuk terbaharu itu.
BACA JUGA:
Pasport edisi khas sempena ulang tahun kemerdekaan papar potret Trump
Pada April lalu, seorang pegawai jabatan berkenaan dilaporkan berkata, pasport bertemakan Trump hanya akan ditawarkan melalui janji temu secara bersemuka di Washington dan tertakluk kepada ketersediaan stok.
Sejak kembali memegang jawatan presiden, Trump dilihat aktif meletakkan identiti peribadinya pada pelbagai institusi kerajaan, termasuk memasang sepanduk memaparkan imej beliau di beberapa bangunan kerajaan.
Selain itu, Jabatan Perbendaharaan AS turut mengumumkan bahawa tandatangan Trump akan dipaparkan pada wang kertas satu dolar.
Beliau juga pernah meletakkan namanya pada Pusat Seni Persembahan John F Kennedy sebelum sebuah mahkamah mengarahkan nama tersebut ditanggalkan.
Sekiranya dilaksanakan, Trump bakal menjadi presiden AS pertama yang sedang memegang jawatan untuk dipaparkan dalam dokumen perjalanan rasmi rakyat negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












