Tujuh termasuk pemandu bas cedera kemalangan dengan lori
KLUANG – Tujuh termasuk seorang pemandu bas cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 78.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini malam tadi.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazrul Yusri Mohd Yusof, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 9.10 malam.
Sebaik menerima panggilan itu, dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua unit Bantuan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta 14 anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian sejauh 23 kilometer (km).
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah bas ekspres jenis Hino dengan sebuah lori jenis Isuzu lima tan.
“Terdapat tujuh mangsa lelaki termasuk pemandu bas berusia antara 23 hingga 48 tahun yang cedera ringan dalam kejadian tersebut.
“Kesemua mangsa telah keluar sendiri sebelum pihak bomba tiba, sementara pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Video kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial sejak malam tadi.
Tambah Mohd Nazrul Yusri, kebakaran berjaya dikawal pukul 12.03 tengah malam.
“Operasi ditamatkan pada pukul 12.14 tengah malam,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












