
Tuntut pengeluaran KWSP, lelaki nekad jalan kaki dari Johor Bahru ke Istana Negara
KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi nekad berjalan kaki dari Johor Bahru ke Istana Negara, Kuala Lumpur sebagai usaha menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Ini kerja gila, saya tahu. Tapi demi keluarga dan anak-anak saya terpaksa lakukan.
“Ini cara saya dan usaha demi menuntut kerajaan khususnya perdana menteri melihat kesusahan rakyat seperti saya.
“Biar saya penat harungi perjalanan ini, ini perjuangan saya demi masa depan anak-anak,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Noorazalan, 49, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu kepada seorang usahawan, berkata, dia terpaksa berhenti kerja selepas perniagaan majikannya terjejas akibat pandemik Covid-19.
Rentetan daripada itu, dia mula bekerja sebagai pemandu teksi untuk menyara lima orang anaknya, namun apa yang merunsingkan dia adalah bebanan hutang yang ditampung olehnya.
“Kalau dengan memandu teksi hanya cukup untuk belanja keperluan harian, kenapa saya perlukan sangat duit KWSP ini untuk tutup lubang-lubang (hutang).
“Dengan kos sara hidup yang makin tinggi, perbelanjaan persekolahan anak-anak dan beban yang ada, saya tidak boleh berdiam diri.
“Biarlah saya teruskan berjalan hingga tiba pintu Istana Negara, apa yang akan jadi selepas itu saya serah pada Allah,” katanya lagi.
Pada 9 Februari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan pendirian kerajaan untuk tidak membenarkan pekerja sekali lagi mengeluarkan simpanan di KWSP.
Katanya, sebanyak 71 peratus pencarum KWSP aktif yang berumur 55 tahun ke bawah tidak mempunyai wang mencukupi untuk bersara di atas paras kemiskinan negara, susulan empat pengeluaran khas sebelum ini semasa pandemik Covid-19.
Pada pembentangan Bajet 2023 yang lalu, kerajaan bersetuju menambah caruman sebanyak RM500 ke dalam simpanan Akaun 1 KWSP bagi pencarum berusia 40 hingga 54 tahun yang memiliki baki simpanan kurang RM10,000 dalam akaun berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











