Tuntutan Kedah terhadap P Pinang sama seperti waris Sulu – Kon Yeow
KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang yang kembali dibangkitkan sebagai tidak berasas serta bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Batu Kawan itu menegaskan, tuntutan yang dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bukan sahaja tidak berperlembagaan, malah mempunyai persamaan dengan tuntutan waris Sulu ke atas Sabah yang sebelum ini ditolak.
“Tuntutan Menteri Besar Kedah terhadap Pulau Pinang adalah tidak berperlembagaan, sama seperti tuntutan waris Sulu ke atas Sabah yang ditolak berdasarkan prinsip undang-undang dan kedaulatan negara,” katanya ketika berbahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam.
Baca juga : Pulau Pinang belum terima notis, petisyen mahkamah daripada Kedah – Chow Kon Yeow
Chow berkata, Pulau Pinang merupakan sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
Menurutnya, kedudukan itu turut diperkukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963 yang dengan jelas menetapkan Pulau Pinang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan bukan kepada sebarang tuntutan sejarah sebelum merdeka.
Beliau menambah, sempadan negeri telah dimuktamadkan menerusi Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pindaan Sempadan) 1985 yang digubal Parlimen selaras dengan Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam sistem persekutuan, sempadan negeri tidak boleh diubah sewenang-wenangnya, apatah lagi melalui kenyataan politik tanpa proses perundangan sah. Tuntutan sebegini jelas bertentangan dengan semangat federalisme,” katanya.
Chow turut memberi amaran dakwaan sedemikian berpotensi membuka ruang yang boleh menggugat kestabilan negara.
Sebelum ini, Sanusi dilaporkan menyatakan kerajaan Kedah mempunyai perancangan lebih luas berhubung tuntutan terhadap Pulau Pinang, termasuk cadangan menjadikan negeri itu sebagai wilayah khas seumpama kedudukan Hong Kong dengan China, namun butiran lanjut tidak didedahkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












