BULAN Zulhijjah mengajak kita menghayati satu kisah agung tentang pengorbanan, ketaatan dan keyakinan. Kisah Nabi Ibrahim A.S. yang diperintahkan oleh Allah SWT untuk mengorbankan puteranya, Nabi Ismail A.S., bukan sekadar peristiwa yang dikenang setiap kali Aidiladha menjelang, tetapi merupakan simbol pengorbanan tertinggi seorang hamba kepada Penciptanya.
Kisah ini membuktikan bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan keyakinan akan digantikan dengan rahmat serta kebaikan yang lebih besar.
Di sebalik peristiwa bersejarah tersebut tersirat satu pengajaran penting iaitu perubahan besar tidak akan berlaku tanpa keberanian untuk berkorban. Semangat pengorbanan inilah yang perlu diterjemahkan dalam usaha membina masa depan tenaga mahir negara.
Dalam konteks pembangunan negara, pengorbanan bukan sekadar melepaskan sesuatu yang kita sayangi. Ia juga menuntut keberanian untuk meninggalkan cara berfikir lama, mengubah kebiasaan, menerima pendekatan baharu dan bergerak seiring dengan perubahan zaman.
Masyarakat perlu bersedia mengorbankan persepsi lapuk bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui laluan akademik semata-mata. Sebaliknya, kemahiran perlu diangkat sebagai satu bentuk keupayaan yang bernilai, bermaruah dan amat diperlukan dalam pembangunan negara.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) hari ini bukan lagi pilihan kedua. TVET merupakan laluan strategik dalam melahirkan tenaga kerja mahir, berdaya saing dan memenuhi keperluan industri yang semakin kompleks.
Sesebuah negara yang ingin maju tidak boleh bergantung kepada teori dan kelayakan di atas kertas semata-mata. Negara memerlukan individu yang mampu membina, membaiki, mencipta, mengendalikan teknologi, mengurus sistem pengeluaran, menyelesaikan masalah teknikal serta menjana produktiviti sebenar di tempat kerja.
Namun untuk mencapai aspirasi tersebut, perubahan sikap dalam kalangan masyarakat amat diperlukan. Ibu bapa perlu berani membuka minda bahawa anak-anak yang memilih laluan TVET juga mempunyai masa depan yang cerah dan berpotensi tinggi.
Golongan muda pula perlu sanggup berkorban masa, tenaga dan komitmen untuk menguasai kemahiran secara bersungguh-sungguh. Institusi latihan perlu bergerak melangkaui amalan rutin dengan mengadaptasi pendekatan yang lebih responsif dan selari dengan kehendak industri.
Pada masa yang sama, masyarakat perlu menghentikan stigma bahawa TVET adalah laluan bagi mereka yang tercicir dalam akademik. Sebaliknya, TVET perlu diiktiraf sebagai laluan utama yang mampu melahirkan tenaga profesional berasaskan kemahiran serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi negara.
Penglibatan industri juga merupakan satu bentuk pengorbanan yang amat penting dalam memperkukuh ekosistem TVET. Industri tidak boleh hanya menunggu graduan mahir dihasilkan oleh institusi latihan.
Sebaliknya, industri perlu tampil sebagai rakan strategik dalam pembangunan modal insan negara melalui penyertaan aktif dalam pembangunan standard kemahiran, penyediaan tempat latihan, perkongsian teknologi, pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar serta pembentukan tenaga kerja yang memenuhi keperluan semasa.
Tanpa penglibatan industri, latihan kemahiran berisiko terpisah daripada realiti dunia pekerjaan. Sebaliknya, apabila industri memainkan peranan secara langsung, TVET akan menjadi lebih relevan, dinamik dan diyakini oleh masyarakat serta majikan.
Sehubungan itu, usaha Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) memperkenalkan inisiatif (R)EVOLUSI TVET merupakan langkah penting dalam memperkukuh ekosistem kemahiran negara. Inisiatif ini membawa mesej bahawa TVET perlu terus berubah, diperkasa dan disusun semula agar lebih berimpak kepada rakyat, industri dan negara.
Ia bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi satu gerakan transformasi yang menuntut komitmen semua pihak untuk menjadikan TVET sebagai agenda utama pembangunan nasional.
Melalui pendekatan ini, JPK terus memainkan peranan penting dalam memastikan latihan kemahiran negara kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri. Standard kemahiran diperkukuh, sistem pentauliahan dimodenkan, pengiktirafan kemahiran diperluaskan dan kerjasama strategik bersama industri dipertingkatkan demi melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang kompeten dan berdaya saing.
Sempena bulan Zulhijjah yang mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S., marilah kita mengambil iktibar bahawa setiap perubahan besar menuntut pengorbanan. Untuk membina tenaga mahir negara, kita perlu berkorban meninggalkan stigma lama.
Untuk mengangkat martabat TVET, kita perlu berani mengubah cara berfikir. Dan untuk mencapai status negara maju, kita perlu memberi ruang, sokongan dan keyakinan kepada laluan kemahiran sebagai pemangkin kemajuan negara.
Akhirnya, TVET bukan sekadar mengenai latihan dan sijil. TVET adalah tentang masa depan rakyat, kekuatan industri dan kemajuan negara. Jika pengorbanan hari ini dilakukan dengan kesungguhan dan keikhlasan, hasilnya akan dinikmati oleh generasi akan datang.

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali ialah Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Kemahiran
Kementerian Sumber Manusia
Artikel kiriman ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












