TVET pertanian, pembinaan diperkasa lahir tenaga kerja berkemahiran tinggi
PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya dalam sektor pertanian dan pembinaan bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 2/2026 yang dipengerusikannya hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan meneliti pelbagai agenda strategik ke arah memperkukuh ekosistem TVET negara, terutama dalam sektor yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
“Selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pembangunan bakat negara berasaskan kemahiran, mesyuarat turut meneliti hala tuju pemerkasaan TVET Pertanian sebagai antara agenda strategik bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan dan keterjaminan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat turut memberi perhatian kepada isu pembangunan bakat dalam sektor agromakanan susulan beberapa cabaran yang dikenal pasti dalam bidang TVET pertanian termasuk aspek kebolehpasaran graduan, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta ketidakpadanan pekerjaan dalam kalangan graduan kemahiran.
Menurutnya, dapatan yang dibentangkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menunjukkan keperluan untuk memperkukuh pembangunan bakat bagi meningkatkan produktiviti, inovasi dan daya saing sektor tersebut.
“Memandangkan isu ini mempunyai implikasi yang lebih luas terhadap keterjaminan makanan, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi negara, saya mencadangkan supaya perkara ini dibawa ke perhatian Jemaah Menteri melalui penyediaan Memorandum Jemaah Menteri.
“Langkah itu bagi membolehkan keputusan dasar yang lebih menyeluruh dan bersepadu dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai Pelan Pelaksanaan TVET Pembinaan CIDB Malaysia 2026–2030 yang dirangka bagi memperkukuh peranan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia sebagai peneraju TVET pembinaan negara.
Ahmad Zahid berkata, pelan tersebut memberi fokus kepada transformasi ekosistem latihan pembinaan menerusi pengukuhan tadbir urus, pemacuan transformasi digital, pemantapan laluan kerjaya serta pengukuhan kerjasama strategik bersama industri.
“Melalui pelaksanaan pelan ini, sektor pembinaan akan diperkasa dengan pembangunan tenaga kerja yang lebih kompeten, berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan teknologi termasuk pendigitalan, automasi serta inovasi dalam industri pembinaan.
“Inisiatif ini juga akan menyokong keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir tempatan di samping memperkukuh daya saing sektor pembinaan negara di peringkat serantau dan global,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau berkata, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai persediaan Sambutan Hari TVET Negara 2026 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya bermula 5 hingga 7 Jun ini dengan tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”.
“Sambutan tersebut dijangka menghimpunkan lebih 500,000 pengunjung menerusi pelbagai program termasuk pameran TVET dan industri, karnival kerjaya, seminar antarabangsa, pertandingan kemahiran serta forum industri.
“Program ini akan menjadi platform nasional untuk mempromosikan TVET dan memperkukuh kerjasama strategik antara institusi latihan serta pihak industri.
“Kerajaan akan terus memperkukuh TVET sebagai agenda nasional bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
“Saya yakin melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan, TVET akan terus melahirkan bakat yang kompeten, inovatif dan berdaya saing untuk memacu kemajuan negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












