BERITA SEMASA

Usaha banteras pengedaran dadah antarabangsa perlu kerjasama serantau

VIENA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan usaha menumpaskan sindiket pengedaran dadah memerlukan tanggungjawab kolektif agensi penguatkuasaan antarabangsa.

Beliau berkata, tindakan pencegahan dan pembasmian hanya akan berkesan sekiranya wujud kerjasama rentas negara kerana kebanyakan sindiket beroperasi secara transnasional oleh kumpulan antarabangsa.

Sehubungan itu, Saifuddin berkata, Malaysia sedar keperluan untuk terus meningkatkan kerjasama antarabangsa dan serantau selaras dengan kewajipan perjanjian antarabangsa dan Pelan Strategik Antidadah 2021-2025 Malaysia.

“Malaysia akan terus mengukuhkan perkongsian dengan negara lain dan organisasi antarabangsa untuk membanteras pengilangan, pengeluaran dan pengedaran dadah haram.

“Kita juga akan memudahkan pertukaran maklumat, kepakaran dan amalan terbaik untuk memperkukuh usaha kolektif oleh masyarakat antarabangsa dalam mencegah jenayah berkaitan dadah,” katanya di Facebook, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian dalam intipati ucapan yang disampaikan di Suruhanjaya Dadah Narkotik ke 67, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) di Vienna, Austria.

Katanya, Malaysia akan terus memperluaskan kerjasama dua hala, khususnya dengan negara jiran terdekat dan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif serantau dan antarabangsa untuk menangani isu dadah terlarang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button