[VIDEO] CIMIC: Penghubung jalinan kepercayaan rakyat dan tentera
KUALA LUMPUR – Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) terus memperlihatkan peranan strategiknya sebagai penghubung utama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat, seiring tuntutan era yang semakin kompleks.
Dalam konteks kesiapsiagaan menyeluruh, CIMIC bukan sekadar platform interaksi sosial tetapi menjadi medium penting yang memperkukuh persefahaman rakyat terhadap peranan angkatan tentera serta membina kebergantungan dua hala secara lebih matang dan berkesan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelaksanaan CIMIC yang digerakkan oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) menunjukkan perkembangan memberangsangkan melalui pelbagai inisiatif bantuan kecemasan, pendidikan, komuniti setempat dan kemanusiaan.

Aktiviti gotong-royong, pembaikan surau, rumah penduduk dan kemudahan awam menjadikan ATM tampil sebagai rakan komuniti yang aktif, bukan hanya sebagai benteng pertahanan negara.
Keakraban ini turut diperkukuh melalui program pendidikan di sekolah dan universiti yang membuka kesedaran baharu mengenai peranan strategik ATM selain memberi ruang kepada pelajar meneroka masa depan dalam bidang pertahanan.
Pada masa sama, program keterlibatan awam seperti karnival dan penganjuran acara, pameran aset dan pemeriksaan kesihatan percuma menjadikan ATM kini lebih dekat di hati rakyat, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap profesionalisme serta kesiapsiagaan angkatan itu.
Kejayaan ini selari dengan konsep pertahanan menyeluruh melalui pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WGOS) seperti digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan yang mengiktiraf masyarakat sebagai komponen penting dalam ekosistem keselamatan negara.

@malaysiatribune Program CIMIC terus menunjukkan perkembangan ketara dari 2023 hingga sekarang bermula dengan fokus pendidikan dan kesedaran awam, program motivasi, aktiviti komuniti serta penganjuran acara yang menarik puluhan ribu pengunjung. Keseluruhan usaha ini mengukuhkan lagi hubungan erat antara rakyat dan tentera sekaligus memperkukuh semangat kebersamaan demi kesejahteraan negara. #malaysiatribune #cimic #negara #rakyat #beritatiktok
Maka tidak hairan apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi usaha memperhebat pelaksanaan CIMIC pada tahun ini yang menjadi bukti komitmen jelas kerajaan dalam memperkukuh hubungan rakyat–tentera melalui pendekatan berfokus dan tersusun.
Selain itu, setiap tahun, ATM turut memperluaskan pelaksanaan CIMIC ke institusi pendidikan termasuk sekolah, kolej dan universiti melalui taklimat keselamatan, pameran keupayaan serta sesi interaksi bersama warga muda.
Pendekatan seperti ini bukan sahaja membantu mengubah persepsi masyarakat terhadap dunia ketenteraan malah menepis tanggapan bahawa kerjaya tentera hanya berkisar kepada peperangan.
Dalam konteks kemanusiaan pula, penglibatan ATM dalam operasi bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kecemasan awam menjadikan mereka antara pasukan paling dipercayai rakyat ketika berlakunya krisis. Kehadiran tentera di lokasi bencana sering menjadi nadi penyelamat, sekali gus mengukuhkan hubungan emosi antara masyarakat dan ATM.

Melalui aktiviti seperti baik pulih rumah, program kesihatan dan inisiatif kesukarelawanan, hubungan awam–tentera kini berkembang daripada hubungan formal kepada ikatan berdasarkan kepercayaan dan kepentingan bersama.
Dengan pendekatan berterusan serta penambahbaikan berasaskan keperluan semasa, CIMIC kekal sebagai jambatan strategik antara tentera dan rakyat, sekaligus menjadi asas penting kepada kestabilan dan kesejahteraan negara pada masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












