BERITA SEMASA

VM2026: MOTAC kaji semula sasaran pelawat antarabangsa

Sasaran awal sudah berjaya dilepasi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan (MOTAC) sedang mengkaji semula sasaran pelawat antarabangsa bagi kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kajian semula itu dilaksanakan berikutan angka pelawat pada 2024 yang sudah melebihi sasaran awal.

“Bagi kempen VM2026, MOTAC telah membuat anggaran asal (sebanyak) 35.6 juta pelawat antarabangsa.

“Namun, kita telah berjaya mencapai lebih daripada sasaran asal, iaitu seramai 38 juta pada tahun 2024. Sehubungan itu, MOTAC sedang mengkaji semula sasaran angka pelawat,” katanya,

King Sing brkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH – Tebrau) mengenai perancangan MOTAC dalam mempromosi pelancongan tahun 2026 dan angka pelancong yang disasarkan.

King Sing kemudian menambah, MOTAC telah menggariskan tiga strategi khusus bagi menjadikan Malaysia destinasi terbaik buat mereka.

“Bagi meningkatkan kedatangan pelancong, antara strategi dirancang adalah menggalakkan pelawat harian untuk bermalam, dengan menawarkan pakej-pakej yang dapat menarik pengunjung untuk bermalam.

“Selain itu, memanjangkan tempoh penginapan (mereka) dengan memperkayakan pengalaman budaya dan eko-pelancongan, memperkasa komuniti tempatan dan meningkatkan infrastruktur.

“Ini diikuti dengan menggalakkan perbelanjaan pelancong dengan mempromosikan pengalaman pelancongan khusus, contohnya pelancongan kesihatan, pelancongan golf dan pelancongan gastronomi,” katanya.

Dan bagi menyokong startegi ini, King Sing berkata MOTAC menerusi agensinya meneruskan kerjasama dengan pihak kerajaan negeri, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan (NPO) dalam mengangkat acara-acara sedia ada.

“Acara-acara seperti Rainforest World Music Festival, Keretapi Sarong, pameran MAHA, Midnight Mega Sale Malaysia, Program IFTAR dan lain-lain juga akan diteruskan dengan sokongan VM2026.

“Selain itu, MOTAC turut bercadang memperluaskan penganjuran Midnight Mega Sales yang sebelum ini julung kali diadakan di Johor, ke tiga atau lima lagi lokasi di seluruh negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button